Adanya lampin pakai buang atau yang lebih dikenali sebagai pampers memang sangat membantu dalam proses menguruskan anak-anak, Ibubapa tidak perlu lagi bersusah payah seperti ibubapa pada zaman dahulu yang memakai lampin kain. Ini seiring dengan perubahan zaman, sementelah ramai ibu-ibu yang berkerjaya kini. Namun, masalah mula timbul untuk memisahkan atau dipanggil bercerai lampin apabila anak-anak sudah makin besar. Tambahan pula, harga pampers yang semakin mahal dan juga keperluan pampers untuk anak kecil yang lain sering merunsingkan hati ibubapa.
Bila waktu sesuai untuk POTTY TRAINING?
Bila waktu sesuai untuk ajar anak bercerai lampin atau biasa orang kata potty training? Sebenarnya tiada umur tertentu melainkan anak anda sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk bercerai lampin dan tidak lagi memakai diapers/ lampin pakai buang.
Sebenarnya masa sesuai adalah bila anak kita sudah pandai berkomunikasi, tahu untuk bercakap dan tahu memberitahu. Tanda lain adalah mereka kelihatan tidak selesa memakai pampers dan sering menanggalkan pampers sendiri, merupakan indikator mereka tidak lagi mahu memakai lampin pakai buang. Tidak perlu memakai lampin ini berbeza penerimaannya setiap anak. Jangan paksa mereka dan biarkan mereka bersedia, tugas kita ibubapa melatih mereka secara sabar. Sebagai ibu bapa sudah tentu kita tahu cara terbaik untuk memujuk mereka. Kalau kena dengan cara anak anda mungkin akan lebih awal bercerai lampin.
Idealnya pemakaian pampers hanya digunakan hingga anak mencapai usia 20 bulan dan setelah itu ibubapa sudah boleh mula mengajarkan kepada mereka tentang potty training. Potty training bertujuan untuk mengajarkan kepada anak bagaimana cara menggunakan toilet untuk pertama kali, sehingga anak-anak tahu apa yang harus dilakukan ketika ingin membuang air kecil/ besar. Tetapi cara ini dicadangkan dilakukan saat anak sudah mampu diajak berkomunikasi dengan baik.. Kebiasaan juga anak lelaki agak lambat untuk bercerai lampin berbanding anak perempuan.
Cara dan Persiapan Melatih anak Untuk Potty Training
Berikut adalah cara dan persiapan agar anak tidak lagi menggunakan pampers.
1. Jangan membiasakannya
Apabila ibubapa sudah berazam untuk cerai lampin, gunakan pampers hanya sesekali saja di saat-saat tertentu seperti menghadiri acara-acara penting atau ketika sedang melakukan perjalanan jauh, supaya dengan demikian diharapkan anak-anak tidak terlalu bergantung kepada pemakaian pampers.
2. Berikan sokongan
Ketika tiba saatnya untuk berhenti menggunakan pampers biasanya anak-anak akan menghadapi kerisauan kerana itu mereka sangat memerlukan sokongan dari ibubapa atau adik-beradik yang lebih tua, mereka juga perlu diberitahu pampers sebenarnya hanya digunakan oleh baby dan adik kecil dan bukan untuk anak-anak yang sudah besar seperti mereka.
3. Jangan memarahinya
Beri masa anak-anak untuk menyesuaikan diri. Oleh itu, jangan pernah sekalipun memarahinya ataupun memaksa saat anak belum merasa yakin untuk tidak memakai pampers, kerana ia membuatkan mereka makin ketakutan dan tidak percaya diri, sehingga akan lebih sukar untuk melepaskan dirinya dari kebiasaan menggunakan pampers.
4. Atur jadual untuk buang air
Atur jadual buang airnya secara berkala (misalnya pada hari pertama ingatkan anak untuk ke tandas setiap lima belas minit, hari kedua setengah jam , hari ketiga setiap sejam dan seterusnya) atau terserah pada anda, sehingga anak-anak terbiasa dan boleh melakukannya seorang diri tanpa disuruh.
5. Beri pujian / ganjaran
Saat anak mulai belajar untuk tidak lagi menggunakan pampers berikan pujian kepada mereka, ketika ini mereka sangat perlu diyakinkan bahawa tanpa pampers sebenarnya tidak akan terjadi apa-apa pada mereka, justeru mereka akan lebih bebas bergerak. Ganjaran tidak semestinya dalam bentuk duit atau hadiah, ibubapa boleh juga membawa mereka ke taman, menemani mereka bermain basikal, ganjaran atas kejayaan mereka dalam ujian ke tandas.
6. Gunakan alas tilam
Bagi ibubapa yang risau akan tilam mereka basah saat-saat potty training ini, mereka bolehlah mengenakan alas tilam kalis air agar tiada ibubapa yang stress tika anak-anak kesayangan mereka kebocoran di atas tilam.
7. Membatasi minum sebelum tidur
Kurangkan minum air sebelum tidur dan pastikan mereka diingatkan agar membuang air kecil sebelum masuk tidur.
8. Komunikasi yang baik
Komunikasi yang baik antara ibubapa dan anak adalah sangat penting, beritahu mereka adalah perlu bagi mereka untuk tidak memakai pampers disebabkan mereka sudah besar. Guna ayat yang santai dan ayat yang mudah untuk mereka paham. Kalau perlu ulang komunikasi yang sama setiap hari. Apabila tiba masanya nanti mereka sendiri dengan rela hati minta untuk tidak memakai pampers.
9. Konsisten dan SABAR
Kanak-kanak yang sudah terbiasa memakai pampers akan mengalami masalah untuk mengetahui (signal) bila masa mereka perlu ke tandas, kerana mereka sudah terbiasa 'membuang' sahaja di pampers. Kadang-kadang peristiwa kebocoran tanpa sengaja itu selalu saja terjadi, jadi ibubapa perlu kesabaran yang tinggi sebelum anak-anak ini lulus ujian Potty Training ini.
10. Memperbanyakkan bahan bacaan
Jika kita lihat sekarang tidak sukar untuk mencari bahan bacaan berkaitan potty training ini. Buka saja internet buat carian di internet berkaitan tips potty training, nah..kita akan dihidangkan dengan pelbagai tips, cadangan dan pengalaman para blogger dan juga sumber dari e-majalah.
11. Kerjasama pasangan
Dalam apa jua proses pendidikan anak-anak, kerjasama pasangan merupakan success factor yang paling terunggul. Ceritakan dan rancang bersama dengan pasangan anda, bagaimana untuk menjalankan latihan ini. Tetapkan masa yang sesuai, di mana anda dan pasangan sudah bersedia untuk melalui latihan ini. Jika pasangan anda membantu untuk mop, membasuh dan sebagainya ia merupakan
suatu bonus. Kerjasama lain termasuk juga sokongan motivasi secara lisan atau sekurang-kurangnya tidak menambahkan beban kerja untuk anda
yang sedang menjalankan latihan ini kepada anak.
12. Belikan seluar dalam yang menarik
Untuk menarik perhatian anak-anak, belikan seluar dalam yang menarik. Contohnya jika anak lelaki belikan seluar dalam mengikut cerita kartun yang mereka gemar, contohnya seluar dalam ben-10, bagi anak perempuan belikan seluar dalam Princess, Hello kitty dsb yang mana membuatkan mereka teruja dan berasa sudah besar dan malu jika pakai pampers lagi.
13. Guna mangkuk portable potty training
Ini sebagai salah satu pilihan untuk melatih anak-anak sebelum mereka pandai/ berani duduk di tandas duduk. Cari mangkuk potty training yang menarik yang banyak dipasaran sekarang untuk membuatkan mereka teruja dan pastikan 'tandas kecil' mereka ini selalu dicuci bagi mengelakkan kuman.
Kesimpulan
Adalah suatu kelegaan bagi semua ibubapa apabila anak-anak mereka berjaya bercerai lampin. Tambahan pada masa sekarang dalam ekonomi yang sukar sudah tentu sahaja para ibubapa mencari jalan penjimatan. Namun begitu, anak-anak mempunyai tahap kefahaman dan emosi yang berlainan, jangan dibandingkan dengan anak-anak yang lain atau memarahi atau menyindir. Gunakan pendekatan diplomatik, sentiasa berkomunikasi sehingga anak-anak faham dan menyerahkan diri mereka untuk tidak memakai pampers. Sokongan pasangan dan juga orang sekeliling terutamanya penjaga anak-anak adalah sangat perlu. Teruskan usaha tanpa jemu, konsistan dan kunci utama kejayaan Potty Training ini adalah SABAR.
Post a Comment